Hubungi Kami / Contact Us | Soalan Lazim / Frequently asked questions | Aduan/Maklum Balas / Complaints/Feedback | Peta Laman / Site Map

Jenis-Jenis Pemberhentian Pekerja

Majikan dikehendaki melaporkan kepada Pejabat Tenaga Kerja berdekatan sebelum mana-mana tindakan seperti di bawah dilaksanakan dengan mengemukakan Borang Pemberhentian Pekerja JTKSWK 19 dan Lampiran kepada JTKSWK19;

Pemberhentian Tetap

1. Pemberhentian Tetap (Retrenchment) adalah tindakan penamatan kontrak atau perkhidmatan oleh majikan ke atas pekerja kerana syarikat mengalami masalah kewangan ataupun melakukan penstrukturan semula perniagaan mengakibatkan berlakunya lebihan tenaga kerja.

 

2. Pekerja yang diberhentikan akan dibayar faedah penamatan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Kaedah-kaedah Buruh (Sarawak) (Faedah-faedah Penamatan dan pemberhentian Kerja Sementara) 2008) atau mengikut perjanjian bersama (Collective Agreement).

Pemberhentian Pekerja Secara Sukarela

1. Pemberhentian Secara Sukarela [Voluntary Separation Scheme (VSS)] bermaksud majikan berhasrat untuk mengurangkan pekerja tetapi dengan cara mempelawa pekerja memohon untuk berhenti secara sukarela. Pada kebiasaannya pekerja akan ditawarkan faedah penamatan atau pampasan yang lebih baik daripada peruntukan undang-undang. Walau bagaimanapun keputusan untuk membenarkan penamatan kontrak secara sukarela adalah terletak di tangan majikan.

 

2. Manakala tindakan-tindakan seperti Mutual Separation Scheme (MSS) dan Rationalisation Scheme pula mempunyai konsep yang hampir sama namun membawa maksud yang berbeza dengan VSS. Tindakan-tindakan tersebut walau bagaimanapun, masih perlu dilaporkan kepada Pejabat Tenaga Kerja.

Pemberhentian Kerja Sementara

Tindakan Pemberhentian Kerja Sementara atau lay-off berlaku apabila:-

 

1. Majikan tidak menyediakan  kerja sekurang-kurangnya 12 hari waktu bekerja biasa dalam mana-mana tempoh 4 minggu berturut-turut [Kaedah 5 (1)(a), Kaedah-kaedah Buruh (Sarawak) (Faedah Penamatan dan Pemberhentian Kerja Sementara) 2008]; dan pekerja tidak dibayar apa-apa saraan di bawah kontrak itu bagi tempoh atau tempoh-tempoh (dalam tempoh 4 minggu berturut-turut itu) yang dia tidak diberikan kerja: [Kaedah 5 (1)(b), Kaedah-kaedah Buruh (Sarawak) (Faedah Penamatan dan Pemberhentian Kerja Sementara) 2008].

 

2. Dengan syarat bahawa apa-apa tempoh yang seseorang pekerja itu tidak diberi kerja disebabkan hari rehat, cuti umum, cuti sakit, cuti bersalin, cuti tahunan, apa-apa cuti lain yang dibenarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, atau apa-apa cuti yang dipohon oleh pekerja dan diluluskan oleh majikannya, tidak boleh diambil kira bagi menentukan sama ada pekerja itu telah diberhentikan kerja sementara atau tidak.

 

3. Sekiranya kedua-dua situasi di atas berlaku, maka majikan hendaklah membayar faedah penamatan atau pemberhentian kerja sementara kepada pekerja.

Prosedur Pemakluman Pemberhentian Pekerja
Majikan dikehendaki melaporkan kepada Pejabat Tenaga Kerja berdekatan sebelum mana-mana tindakan seperti di bawah dilaksanakan dengan mengemukakan Borang Pemberhentian Pekerja JTKSWK 19 dan Lampiran kepada JTKSWK19 mengikut jenis pemberhentian atau tindakan yang akan dilaksanakan oleh majikan:-
 
  1. Pemberhentian Tetap.
  2. Pemberhentian Pekerja Secara Sukarela.
  3. Pemberhentian Kerja Sementara.
  4. Pengurangan Gaji.
 
Borang JTKSWK 19 ini hendaklah dihantar kepada Pejabat Tenaga Kerja yang berdekatan seperti berikut;
 
  1. Bahagian I hingga IV- dihantar sekurang-kurangnya dalam tempoh 30 hari sebelum pemberhentian pekerja dilaksanakan.
  2. Bahagian V – dihantar dalam tempoh 14 hari selepas pemberhentian pekerja dilaksanakan.
  3. Bahagian VI dan Lampiran – dihantar dalam tempoh 30 hari selepas pemberhentian pekerja dilaksanakan.
 
Nota: Bahagian V dan VI perlu dihantar sekiranya tindakan melibatkan pemberhentian tetap atau / dan pemberhentian sukarela.
Borang Pemberitahuan Pemberhentian

Pemberitahuan Pemberhentian Kerja 2009 (Borang Pemberhentian Pekerja) boleh diperoleh secara percuma daripada mana-mana Pejabat Tenaga Kerja di seluruh Sarawak atau boleh dimuat turun Borang Pemberhentian Pekerja JTKSWK 19 dan Lampiran kepada JTKSWK19.

Penalti Kegagalan Mengemukakan Pemberitahuan Pemberhentian

Pemberitahuan Pemberhentian Kerja 2009 (Borang Pemberhentian Pekerja) telah diwartakan sebagai P.U (B) 205 pada 26 Jun 2009 dan kepada mana-mana majikan yang gagal mematuhi perkara ini adalah melakukan satu kesalahan  mengikut seksyen 130M Ordinan Buruh (Sarawak Bab.76), dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari RM10,000.

Hubungi Kami

Sila berhubung dengan Ibu Pejabat JTK Sarawak atau Pejabat Bahagian yang terdekat dengan tempat pekerjaan.

Jika anda ada sebarang pertanyaan klik DI SINI.

Portal Rasmi Jabatan Tenaga Kerja Sarawak
Skip to content